Sejarah Alkitab Indonesia

Pendahuluan Today's Malay Version

Bagikan ke Facebook

Dari Sejarah Alkitab Indonesia

Langsung ke: navigasi, cari
Tmv 1987 cover besar.jpg
Today's Malay Version
  • Pendahuluan Today's Malay Version
Sejarah Alkitab di Indonesia


Perjanjian Baharu

Perjanjian Baharu adalah sebuah kitab dari hal Yesus Kristus. Menurut erti nama kitab ini sendiri, ianya mengandung perjanjian baharu yang dibuat Allah dengan umatnya. Perjanjian ataupun persetujuan inilah Berita Baik bahawa Allah telah berjanji hendak menyelamatkan orang-orang yang percaya kepada Yesus Kristus sebagai Rabbi dan Juruselamat. Perjanjian Baharu bukan sahaja memberitahu, tetapi ianya menuntut keputusan dan penyerahan diri dari pihak orang-orang yang membaca Berita Baik itu.

Dua puluh tujuh kitab di dalam Perjanjian Baharu ini ditulis oleh beberapa orang dalam jangka kira-kira lima puluh tahun. Meskipun kandungan kitab-kitab ini berlainan, di seluruh kitab ini pokok fikirannya satu. Kesatuannya ialah bahawa kasih Allah telah dinyatakan kepada manusia dengan perantaraan Yesus Kristus.

Empat Berita Baik yang di bahagian muka kitab ini menceritakan kehidupan, pengajaran, perbuatan-perbuatan, kematian, dan kebangkitan Yesus. Empat kitab ini diikuti oleh Kisah Rasul-Rasul, yang mengisahkan penyebaran Berita Baik itu, dari Yerusalem sampai ke Rum, ibu kota kerajaan, selama lebih kurang tiga puluh tahun. Semua surat-surat Paulus ditulis untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu, yang dihadapi orang-orang Kristian pada zaman itu. Delapan buah lagi kitab selanjutnya, yang dinamakan Surat-Surat Umum, berlainan satu dari yang lain. Ada yang dialamatkan kepada orang-orang Kristian di mana sahaja, dan ada juga yang ditujukan kepada sesuatu jemaah atau seseorang.

Kitab Wahyu berlainan sekali dari kitab-kitab yang lain. Ia mengajar mengenai kemenangan Pemerintahan Allah, dan bahawa Kristus itulah Rabbi; dan ini disampaikan dengan cara penglihatan-penglihatan, gambaran-gambaran, dan simbul-simbul, yang kebanyakannya susah difahami pembaca-pembaca moden. Tetapi perkhabarannya, yang tegas dan yang boleh juga dianggap sebagai pokok fikiran seluruh Perjanjian Baharu, iaitu: "Kuasa pemerintahan dunia ini sekarang ada pada Tuhan kita dan Raja yang dijanjikannya, dan dia akan memerintah untuk selama-lamanya!" (Wah. 11:15).

Terjemahan Alkitab

Terjemahan Alkitab adalah satu pekerjaan yang memerlukan kebolehan luar biasa. Ianya selalu dikerjakan oleh beberapa orang. Tidak pernah satu orang mempunyai kepandaian, pengetahuan, dan latihan yang diperlukan untuk pekerjaan ini. Demikian jugalah dengan terjemahan bahasa Malaysia. Naskah percubaan dibuat oleh satu orang. Kemudian naskah itu dibaca dan diperbaiki oleh beberapa orang lain, untuk menjamin bahawa makna terjemahan itu tepat dan jelas. Naskah itu dikembalikan lagi kepada penterjemah tadi. Baharulah dia menyediakan terjemahan yang benar.

Dua tugas penterjemah ialah: Pertama, dia mesti setia kepada maksud bahasa yang diterjemahkannya itu; dan untuk mencapai tujuan itu, Perjanjian Baharu bahasa Yunani yang disediakan oleh jawatankuasa antarabangsa Lembaga Alkitab Sedunia dipakai sebagai dasar.

Tugas penterjemah kedua ialah, dia mesti mengemukakan kandungan terjemahan itu dengan jelas dan dalam bahasa yang sebiasa-biasanya digunakan; dan ini tidak kurang mustahaknya dari tugas pertama. Penulis-penulis Perjanjian Baharu menggunakan bahasa Yunani yang biasa pada zaman mereka, bahasa yang digunakan dan difahami di seluruh kerajaan Rum. Demikian juga terjemahan bahasa Malaysia. Bahasa yang digunakan oleh penterjemah kita ialah bahasa umum yang digunakan dan difahami diserata tanahair kita.

Perkataan Rabbi, secara biasa, boleh diertikan tuanku; tetapi bila digunakan dalam Perjanjian Baharu, biasanya ertinya ialah Tuhanku. Dalam bahasa Ibrani, rabbi atau rabboni bererti guru.

Mazmur

Mazmur ialah sebuah kitab yang dipetik dari Perjanjian Lama dan digabungkan di sini bagi kemudahan pembaca. Ianya mengandungi doa-doa, puji-pujian, dan kesaksian-kesaksian mereka yang telah mengalami kebesaran Tuhan. Kebanyakan Mazmur tersebut ditulis oleh Raja Daud pada zamannya.

Peta-peta sederhana juga disediakan supaya pembaca dapat membayangkan keadaan ilmubumi negeri-negeri dan tempat-tempat yang disebut dalam Perjanjian Baharu.

Tiap-tiap kitab didahului oleh Pendahuluan, yang menerangkan pokok fikiran dan garis-garis besar kitab itu. Ayat-ayat yang ditandai dengan [ ] bererti ayat-ayat tersebut tidak terdapat dalam naskah Perjanjian Baharu yang tertua dan terbaik.


Bibliografi
Artikel ini diambil dari:
Today's Malay Version.Today's Malay Version.The Bible Society of Singapore and Brunei.
kembali ke atas